Saturday, 6 August 2016

NOTA RUJUKAN STPM KMK [ JATI DIRI ] SBDKL

Dalam Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, Keris Mas menggambarkan watak En. Muhammad, iaitu seorang saudagar yang menguruskan sebuah anak syarikat milik saudagar Cina, Datuk Tan Chong Seng. Syarikat tersebut menguruskan import eksport lada hitam. Namun nilai jati diri iaitu kebijaksanaan dan sikap hemah En. Muhammad telah melawan arus sikap tipikal orang Melayu lama.
Kebijaksanaan En. Muhammad ini diakui, apabila Datuk Tan kagum pada kebolehan dan keberanian En. Muhammad dalam membuat sesuatu rundingan perniagaan. Kekaguman Datuk Tan kepada Muhammad dalam mentadbir dan mengurus anak syarikatnya menyebabkan beliau menjadikan Muhammad sebagai rakan kongsi perniagaan dalam syarikat import eksport lada hitam di Jerman.
Keris Mas telah melukis personaliti nilai jati diri pada watak Melayu yang dikehendaki oleh DEB. Dasar kerajaan pada waktu tersebut adalah orang Melayu harus diberi peluang saksama membentuk kekayaan baru dalam proses pembangunan negara. Selain itu orang Melayu juga harus memiliki sikap berani merebut peluang, seperti En. Muhammad yang berani mencuba menerima cabaran dan risiko dalam bidang perniagaan.
Dalam DEB kerajaan telah mengambi langkah-langkah dalam mempertingkatkan kebolehan orang Melayu melalui pendidikan dan latihan kemahiran terutama kepada generasi muda. Pendidikan penting dalam pembangunan sesebuah negara kerana generasi mudalah nanti yang akan mewarisi kepimpinan negara seterusnya.
Selain untuk membangunkan negara melalui pendidikan, kerajaan juga melihat faktor pendidikan sebagai tonggak penting membentuk satu sistem nilai baru kepada generasi muda. Sebagai contoh dalam SBDKL, Watak Rahim, iaitu anak kepada Muhammad dan Robert, anak kepada Datuk Tan. Kedua-dua mereka sedang menuntut di England, berumur 23 tahun, rakan karib dan mengambil pengkhususan dalam bidang kejuruteraan lombong dan Pengurusan Dagang. Pendidikan juga memberi manfaat kepada perpaduan negara dan penyatuan kaum. Watak-watak ini sebenarnya ialah wakil generasi muda yang menjadi harapan kerajaan untuk sama-sama menggerakkan pembangunan negara seperti dalam pernyataan DEB tentang pentingnya pendidikan dalam negara membangun. Pengkhususan yang diambil oleh kedua-dua anak muda itu dalam bidang ekonomi dan kejuruteraan memberi makna bahawa bidang ekonomi dan kejuruteraan adalah sinonim dengan pembangunan dan lambang kepada pembangunan negara.
Unsur perpaduan juga tergambar dalam persahabatan antara Rahim yang mewakili orang Melayu dan Robert yang mewakili orang Cina. Mereka merupakan rakan karib sejak di bangku.
Novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, Keris Mas telah menggambarkan orang Melayu di Lembah Tualang dan Jeram Medang, rata-rata masih bergantung hidup pada sawah dan getah. Faktor sumber ekonomi tersebut menyebabkan penduduk Melayu di situ berada dalam kemiskinan. Sebagai penyelesaian kepadan kemelut kemiskinan yang dialami oleh kebanyakan penduduk Lembah Tualang dan Jeram Medang, En. Muhammad, telah mengusahakan perpindahan orang Lembah Tualang dan Jeram Medang ke tanah rancangan FELDA. Dalam DEB program tanah rancangan ini, kerajaan menempatkan orang Melayu dan seterusnya menyediakan sumber pekerjaan kepada mereka. Tujuan tanah rancangan ini adalah untuk mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi orang Melayu yang keseluruhan masih tinggal di desa-desa yang telah kekurangan sumber dan mengalami kejumudan sikap menyebabkan mereka berada dalam kemiskinan. Program tanah rancangan ini bertujuan membasmi kemiskinan terutama orang Melayu. Oleh itu melalui Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, Keris Mas telah meneroka satu bidang yang baru walau pun bidang ini sebenarnya telah diceburi oleh pembesar Melayu pada zaman penjajahan British dahulu iaitu bidang perlombongan bijih timah. Kawasan Lembah Tualang yang kaya dengan hasil bijih timah telah menarik minat Datuk Tan dan rakan kongsinya En. Muhammad yang mempunyai pengaruh keturunan di Lembah Tualang untuk menjalankan kembali projek cari gali bijih timah di sana. Hasrat ini secara tidak langsung menggambarkan bagaimana proses kemasukan orang Melayu, iaitu En. Muhammad ke dalam satu bidang perniagaan yang moden, iaitu dalam sektor perlombongan. Di samping itu, kerjasama yang digambarkan antara Datuk Tan dan Muhammad melambangkan bagaimana bentuk agihan itu boleh terjadi. Dalam perkara ketiga DEB pula, kerajaan mahu melibatkan orang-orang Melayu ke dalam sektor-sektor moden. Penglibatan orang Melayu ini penting demi menjamin kesamarataan agihan sumber hasil bumi negara dengan bangsa asing.
Watak YB Muhammad Yusuf adalah sebagai wakil kerajaan negeri. Beliau menjadi rujukan Muhammad dalam menyelesaikan isu tanah penduduk Lembah Tualang dan Jeram Medang. Dengan kuasa kerajaan yang miliki oleh YB Muhammad Yusuf, beliau telah menguruskan perpindahan penduduk Lembah Tualang ke tanah rancangan FELDA.
Tokoh watak generasi muda iaitu Rahim yang mendapat pendidikan di luar negara dan Lebai Maarup yang hanya mendapat pendidikan setakat SPM berjaya mengubah pendirian Muhammad yang hanya bermotifkan keuntungan duniawi semata-mata kepada kepentingan keagamaan dalam masyarakat Melayu.
Kesimpulannya, watak En.Muhammad iaitu seorang saudagar dari Kuala Lumpur ialah imejan kepada pelaksanaan DEB dalam pembangunan masyarakat dan negara pada masa itu. Rahim secara simbolis mewakili golongan intelektual-akademik yang idealis akhirnya berjaya mengingatkan ayahnya tentang nilai-nilai budaya bangsa yang harus dipelihara dalam mengejar kekayaan material. Watak Lebai Maarup pula lambang kepada golongan agama-ulama yang mahu pembangunan rohani tidak dipinggirkan juga akhirnya berjaya mengingatkan Muhammad tentang kepentingan agama dalam mengejar pembangunan fizikal. 
 NOTA: HAK CIPTA MOHAMMAD FIRDAUS HASMIN (SMK BANDARAYA II)
TIPS CEMERLANG: HORMAT GURU ANDA SEPERTI ANDA HORMAT IBU DAN BAPA ANDA




1 comment:

  1. Hi ada pada pasal watak dan perwatakan dalm novel sbdkl ?

    ReplyDelete